ALLAH CINTA ORANG MUDA YANG BERTAUBAT ( Bhg 2)




...sambungan dari..Bahagian 1


Huraian ringkas hadis qudsi di atas adalah seperti berikut: " Pemurah adalah salah satu sifat terpuji. Bukankah Nabi Muhammad orang yang paling pemurah, maka Baginda mengajar kita agar menjadi pemurah. Pemurah bererti suka memberi, tidak kedekut dan bakhil."

Allah menyintai sesiapa saja yang bersifat pemurah, tetapi Allah lebih menyintai orang miskin yang pemurah. Orang kaya pemurah Allah cinta, tetapi orang miskin pemurah , Allah lebih cinta lagi. Sebabnya, kalau orang kaya atau mempunyai harta yang banyak bersedekah dan pemurah, itu hal biasa dan memang sepatutnya mereka lakukan.

Orang kaya mudah memperoleh wang sebanyak itu, tetapi orang miskin terpaksa berhempas pulas dan membanting tulang demi mendapatkannya, namun dia masih berjiwa pemurah. Sudut inilah yang mungkin dinilai oleh Allah.

Sifat pemurah ini barangkali juga boleh diluaskan dari segi pemberian tenaga, keilmuan, pemikiran, nasihat berguna dan sebagainya. Allah menyintai sesiapa saja yang rendah hati, tidak meninggi diri dan sombong.

Ini kerana kalau orang miskin rendah hati itu wajar disebabkan mereka sedar diri mereka susah. Tetapi orang kaya, biasanya kalau sudah banyak harta, mudah berlagak sombong dan berasa diri lebih daripada orang lain. Bagaimanapun, jika ada orang kaya, tetapi semakin rendah hati dan diri serta baik budi dan tidak sombong, malah suka membantu orang susah, ini dikira luar biasa.

Maha Bijaksananya Allah mendidik orang kaya secara halus agar mereka menjadi rendah hati hingga lebih mendapat kecintaan Allah. Sesungguhnya Allah cintakan sesiapa saja yang bertaubat. Orang bertaubat adalah kekasih Allah dan orang bertaubat seolah-olah dia tidak mempunyai dosa.

Sesungguhnya Allah membuka peluang seluas-luasnya kepada hamba-Nya untuk bertaubat siang dan malam iaitu sebelum matahari terbit dari sebelah barat ( kiamat) atau sebelum nyawa sampai pada kerongkong, di mana pada waktu itu pintu taubat sudah pun tertutup.

(Sambungan di Bahagian 3...)    

Comments