Wednesday, November 19, 2014

BUBUR ASYURA (SUGHO) KELANTAN

MERAIKAN BULAN MUHARAM !!!

Majlis gotong-royong membuat bubur As-Syura peringkat jabatan. Banyak pendapat dan pandangan tentang sambutan majlis As-Syura ni, ada yang positif dan ada yang negatif. Saya tak nak hurai panjang lebar tentang hal itu, korang boleh lah tanya En.Google ye, banyak blog dan web yang membincangkan isu ini. Yang penting kat sini kita tengok macam mana bubur As-Syura di Kelantan disediakan. Resepi ni saya dapat dari Tokey Sugho Gua Musang ( diberi gelaran Pok Yie) dan di campur aduk dengan resepi dari Ibu Mertua saya, jadi harap Pok Yie tak marah lah ye kalau saya 'menderhaka' kat resepi Pok Yie. Hehehe.. Kalau Pok Yie baca naya saya. Kite tengok apa bahan-bahan nya:

BAHAN-BAHAN UNTUK 1 KAWAH:


Beras 8 kilo - dicuci dan ditoskan terlebih dahulu.
Kacang hijau 5 kilo- digoreng dan dimasak bersama nasi dalam kawah
Jagung manis 5 kilo- separuh dimesin separa hancur dan separuh lagi tak perlu supaya nampak kuning-kuning biji jagung bila bubur dah masak nanti.Terpulang kepada selera dan boleh letak jagung manis dalam tin untuk lebih sedap
Ubi Manis/ Keledek 5 kilo - dibuang kulit dan potong kecil-kecil
Rempah Asyura 1 kilo setengah - ditumis bersama rempah dan bawang(ikut selera-sebab ada orang tak sukakan bau rempah, jadi boleh kurangkan)-di jual di kedai yang menjual rempah di Kelantan
Kayu Manis anggaran sekekak  -digoreng terlebih dahulu dan dimesin untuk ditumis bersama rempah asyura
Ketumbar anggaran 1 senduk besar - digoreng dan diblend hancur, dimasukkan bersama kerisek ke dalam bubur.
Halia, serai 1 ikat besar, lengkuas - dimesin dan ditumis. 
Bawang merah 6 kilo - di hiris nipis dan ditumis 
Bawang putih 1 kilo - dihiris nipis dan ditumis  
gula melaka 1 kilo  - 1paket besar
Gula 8 kilo- bergantung tahap kemanisan disukai  
Santan 7 kilo - atau diambil dari 20 biji kelapa
Lada hitam 100gm - dimesin halus
Garam secukup rasa - biasanya 4 genggam orang dewasa.
Daging ayam/lembu 4 kilo ( ikut selera)-direbus dan dicarikkan kecil-kecil
Kelapa 1 biji - dibuat kerisek


 BAHAN HIASAN:

Beras yang disangai dan di kisar halus. Di tabur di atas bubur asyura yang telah sejuk
atau:
Kelapa Parut yang disangai dan dimesin halus ( gaul bersama sedikit gula dan garam), tabur di atas bubur asyura yang sejuk


CARA MENUMIS:
  1. Panaskan minyak dalam kuali besar. kalau dibuat untuk beberapa kawah perlu tumis bahan-bahan ni dalam kawah sebab terlalu banyak.
  2. Bila minyak dah panas, masukkan kayu manis yang dimesin tadi. tumis sehingga naik bau.
  3. Masukkan halia yang diblend hancur. Tumis sehingga pecah minyak
  4. Kemudian, masukkan bawang putih yang dihiris, tumis sehingga kekuningan
  5. Masukkan lengkuas dan serai yang diblend.
  6. Masukkan bawang merah yang dihiris dan gaul rata sehingga sebati.  
  7. Masukkan rempah asyura dan lada hitam, gaul rata dengan sudip kayu panjang. Tumis sehingga bawang layu. Tambahkan sedikit air.
  8. Masakkan bahan tumisan ini sehingga semua bahan-bahan telah naik bau dan pecah minyak. Selepas itu bolehlah di masukkan ke dalam kawah, biasanya selepas 3 jam memasak bubur, bahan-bahan rempah ini dimasukkan.

 Ketua Tukang Masak ( Pok Yie) memerhatikan kakitangan menumis halia dan bawang putih
 
Bahan-bahan tumisan
 
Bawang merah dikaup-balik dalam kawah. Jangan terkejut pulak, yang ini bukan untuk 1 kawah, tapi 5 kawah sebab tu bawang merah ni banyak.
 
Waktu ni rempah asyura dah dimasukkan dalam kawah tumisan.
 
Last skali tambah air . Tumis lagi sehingga separuh dari bahan asal 

CARA-CARA MEMBUATNYA:

  1. Beras dicuci dan direbus dalam kawah bersama air. Air tu pandai-pandai agak lah ye, asalkan tak melimpah keluar
  2.  Apabila sudah mendidih seketika, masukkan kacang hijau yang sudah disangai. Biarkan sehingga beras masak dan kacang empuk.
  3. Masukkan ubi keledek/ ubi manis ke dalam kawah. Kawah ni kena sentiasa kacau tau, kalau tak hangit berkerak lah kat dasar kawah tu.
  4. Boleh masukkan jagung dan kacau lagi
  5. Masukkan daging yang telah dicarik halus ke dalam kawah. Kacau hingga sebati.
  6. Agak-agak lepas 3 jam duk mengayuh kawah tu, bolehlah masukkan bahan tumisan tadi.
  7. Waktu ni nasi pun dah masak, dah ada rupa bubur ayura dah. Kacau untuk seketika
  8. Masukkan santan, gula melaka dan gula pasir sedikit demi sedikit. Perlu berhati-hati, nantikan isi kawah tu melimpah keluar pulak.
  9. Kacau sehingga bubur betul-betul pekat dan likat. Boleh di tambah kan ketumbar yang dimesin tadi bersama kerisek. 
  10. Tambahkan garam.
  11. Masak bubur asyura ni anggaran 8 hingga 9 jam bergantung kepada jenis beras digunakan. Agak-agak dah betul-betul masak dan likat tu bolehlah angkat , masukkan ke dalam bekas dan sejukkan.
  12. Bila dah sejuk, boleh ditaburkan bahan hiasan di atasnya.
Bubur Asyura yang hampir masak.

 

1 comment:

There was an error in this gadget
Blog ini tidak akan betanggungjawab dengan komen pengunjung yang tidak beretika