Skip to main content

CATATAN UMRAH PERTAMA

Corat-coret Umrah pertama kami suami isteri bersama ibu dan adik. Sebenarnya permulaan rancangan untuk mengerjakan umrah telah bermula sejak 2 tahun yang lalu. Macam-macam sudah kami survey pakej-pakej umrah yang ditawarkan. Suami pula ada ditawarkan untuk mengerjakan umrah bersama rakan-rakan lelakinya, tapi hasrat tersebut ditangguhkan apabila teringatkan saya yang belum lagi menunaikan umarah.

Saya pulak rasa berat hati nak pergi umrah suami isteri dengan meninggalkan anak kepada ibu yang pada masa yang sama menjaga adik yang kelainan upaya selepas kemalangan. Lagipun emak belum menunaikan umrah. Saya pernah menyimpan hasrat untuk membawa ibu terlebih dahulu ke Makkah sebelum saya menyusul. 

Pada masa yang sama kami cuba membuat tempahan dengan salah sebuah syarikat yg menawarkan pakej umrah, tapi hati macam nak ikut pakej dgn th tavel je.


Beberapa hari selepas tu, adik saya sms minta tolong survey cari sebuah kereta untuk kegunaan emak. dalam hati 


" Eh, ada duit adik aku ni" saya terfikirkan sesuatu

"Nak gi umrah tak?" tanya saya

"Boleh ke orang berkerusi roda gi umrah? takut menyusahkan je"

"Apa masalahnya, ramai je org berkerusi roda pergi.malah urusan pun lebih mudah kat sana"

"okey, nanti nak tanya Ma...kalau Ma nak ikut sekali boleh lah"

sepertinya segala perancangan ini sudah di atur oleh Yang Maha Kuasa, esoknya suami terus hubungi pihak Tabung Haji Travel utk membuat tempahan di saat akhir, manalah tahu kalau-kalau ada kekosongan sbb selalunya musim cuti sekolah cepat je penuh.

Alhamdulillah..memang Allah yang sediakan untuk kami, ada 4 kekosongan. katanya ada jemaah yg batalkan tempahan. terima kasih ya Allah atas jemputan Mu. Kami siapkan segala keperluan secepat mungkin termasuk menghadiri kursus umrah dan amali di masjid berhampiran.



 Hadapan Pintu Baabus Salam Madinah. Gambar ni di ambil sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke bumi Madinah.


Kami bertolak dari KLIA pada pukul 7 pm (waktu Malaysia) , dan tiba di madinah pada pukul 10.00 pm, (waktu madinah) , waktu malaysia 3.00pm , jadi kami berniat untuk jamak ta'khir maghrib dan isyak di Madinah. Mutawwif sudah berpesan supaya solat Jama'k di hotel sahaja, tapi suami tidak sabar-sabar untuk solat di Masjid Nabawi. So, lepas check-in dan ambil makanan, saya dan suami keluar dari hotel untuk ke masjid. Hotel kami bersebelahan dengan pintu masjid je. Cuma, kami tak tahu yang selepas pukul 12 malam semua pintu masjid ditutup kecuali pintu Babussalam. Pintu ni di khaskan untuk lelaki sahaja. 

Suami bantu saya cari tempat untuk solat, tapi semua pintu untuk jemaah wanita di tutup. Pusing-punya pusing tak jumpa. Tanya pak Arab yang bertugas di Babussalam, katanya ada pintu belakang ( ntah pintu mana tak tahu, sebab first time jejakkan kaki ke Masjid Nabawi). Sebab dah lewat malam, suami lepaskan saya sorang-sorang pergi cari pintu tu. En Suami ni dah excited sangat nak masuk dan solat, tak dihiraukan dah kita nie yang tak tahu nak solat kat mana. Kononnya diminta nya saya pergi sendiri dan janji jumpa depan pintu Babussalam 1 jam kemudian.  Pergi lah saya sorang-sorang pusing bangunan melalui pintu belakang Babussalam, samua pintu tutup. Semua pak Arab yang lalu-lalang pandang semacam. Agaknya pelik ada minah Malaysia merayau tengah-tengah malam sorang-sorang. Hati mula rasa cuak, sedih pun ada di tinggalkan sorang-sorang. Dalam hati berbisik " Baik solat dengan Mak di bilik kalau macam ni

Last sekali solat lah saya di kaki lima depan Babussalam, bawah tiang payung automatik (rujuk gambar dibawah) yang biasanya terbuka waktu siang. Kebetulah ada sorang minah Arab tengah solat, taklah jakun sangat. Dekat satu jam setengah jugak lah menunggu ket depan Babussalam sambil memberi salam kepada junjungan besar Rasulullah S.A.W dan 2 sahabat baginda,  berselawat dan berzikir. huhuhu... :(


Payung-payung sekitar perkarangan luar masjid Nabawi

Seperti biasa, rutin kami pukul 3 pagi atau 3.30 pagi kami sudah bertolak ke Masjid. Kat sana ada 2 azan, azan pertama untuk kejutkan kita solat malam dan segera ke masjid. Sementara menunggu azan kedua iaitu menandakan masuknya waktu subuh sempatlah solat tahajjud, tasbih, baca al-Quran dan sebagainya.


Bonda khusyuk membaca al-Quran sementara menunggu waktu solat Dhuha

Kami keluar masjid biasanya selepas waktu Dhuha, selepas matahari dah meninggi. Time tu elok-elok je waktu sarapan di hotel. Orang pun tak ramai sangat. Selepas sarapan biasanya kami mengikuti program yang telah di aturkan mengikut jadual oleh pihak Tabung Haji Travel. Biasanya kalau di Madinah antaran program yang diaturkan ialah lawatan ( dan solat) ke Raudhah ( bagi lelaki boleh pergi sendiri hari-hari setiap 5 waktu solat sebab ia terletak dalam kawasan solat lelaki) bagi wanita, melawat ke perkuburan Baqi', Masjid Quba', Masjid Qibtalain' ( masjid 2 kiblat), jabal Uhud, Pasar Kurma dan kawasan sekita Madinah. Makan Rasulullah dan 2 sahabat nabi kami (wanita) cuma boleh melawat sekitar luar masjid je. Sebab sekarang kaum wanita sudah tidak dibenarkan masuk. Huhuhu.. Nampak kubah hijau pun jadilah.



 Imej Masjid Quba'

Masjid Quba 'merupakan masjid pertama yang dibina di dunia dalam sejarah Islam Syariat Nabi Muhammad SAW yang dibina oleh Baginda Nabi SAW sendiri bersama-sama Hadzrat Abu Bakar RA dan penduduk madinah sebaik Nabi Muhammad SAW tiba, ini bermakna sehingga hari ini ( 1432 H ) adalah bersamaan usia masjid berkenaan 1432 tahun Hijrah.


Masjid Quba dengan persekitaran terpencil Madinah di Arab Saudi, merupakan masjid tertua di dunia. batu asas pertamanya yang di laksankan oleh Nabi Muhammad SAW pada waktu tiba Hijrah dari Kota Mekah ke Madinah, Masjid Quba di bina oleh Baginda SAW dengan Hadzrat Abu Bakar RA bersama-sama Para Sahabat RA Madinah atau kaum Ansar.

Nabi Muhammad SAW dipercayai berada di masjid Quba lebih dari 20 malam selepas tiba dari berhijrah dan sambil menunggu ketibaan Hadzrat Ali RA dari Makkah membawa berita dari sana

Dari riwayat As Syimus binti An Nu'man, Baginda SAW memikul batu-bata sendiri sehingga bongkok tubuhnya disamping tubuh baginda dipenuhi debu dan pasir, Nabi SAW tidak mahu Para Sahabat RA mengambil beban yang baginda SAW bawa dan menyukai Para Sahabat RA bekerjasama membawa bahan-bahan bangunan yang lain.

Dengan kudratNya, Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri yang turut mencurah tenaga memulai kerja asas pertama pembinaannya sehingga membolehkan Masjid Quba di gunakan dimana bahan binaannya adalah termasuk berasaskan dari batang dan pelepah kurma.

Apabila siap, inilah masjid pertama yang terbina setelah Masjidilharam Makkah. Di masjid inilah Nabi SAW dan Para Sahabat RA menunaikan solat Jumaat yang pertama sekali berlaku di muka bumi, ia itu pada hari Jumaat bersamaan 27 September 622 Masehi.


Rasulullah S.A.W pernah bersabda :

 "Barangsiapa telah bersuci (mengambil wuduk) di rumahnya, dengan sebaik-baik wuduk, kemudian mendatangi Masjid Quba’ lalu solat di dalamnya dua rakaat, maka baginya sama dengan pahala umrah". [HR Ibn Majah]


 Alhamdulillah kami sempat menunaikan solat Tahiyatul MAsjid dan Solat Dhuha di Masjid Quba. Tapi kena ambil wudhuk awal-awal di hotel tau, tak boleh ambil wudhuk di masjid ni, fadhilat nya tak sama.

Dan Rasulullah SAW suka mengunjungi Masjid Quba’ pada setiap hari Sabtu dan Rasulullah SAW bersolat Dhuha dalamnya. Jadi selain kita Solat Tahiyatul Masjid kita juga digalakkan melakukan sekali Solat Dhuha semasa dibawa oleh pihak travel


Menu di Safwa Royal Hotel..Alhamdulillah, sedappp!!

Selepas 3 hari di Madinah, tibalah masa untuk kami mengerjakan UMRAH pertama yang wajib atas kami bagi yang belum mengerjakan umrah. Bagi yang dah pernah buat umrah, kiranya Umrah tersebut sunat ke atas mereka. Selepas bersiap-siap dan mandi sunat Ihram dan solat sunat ihram di hotel ( solat di tempat Miqat pun boleh) , kami memulakan perjalanan menuju Baitullah, Kiblat umah Islam seluruh dunia yang kita semua mengadap sewaktu solat. Bermaca-macam perasaan bermain di hati, sedih dan sayu pun ada meninggalkan bumi Madinah. Excited untuk melihat Ka'abah buat pertama kali pun ada. 

Kami berniat Umrah di Bir Ali yang terletak lebih kurang 9km dari Kota Madinah. Selepas niat Ihram, proses umrah kami sudah bermula dengan niat, tawaf, saie dan bertahallul ( bergunting/ bercukur bagi lelaki). Sepanjang perjalanan kami bertalbiah beramai-ramai di dalam bas sepanjang menuju ke Baitullah. 



Alhamdulillah perjalan umrah kami diurus dengan baik oleh pihak Tabung Haji. Bas kami selesa dan berair-cond, jadi taklah panas sepanjang perjalanan yang memakan masa hampir 7 jam. Disebabkan bas kami bergerak melebihi had laju ( sempat kena saman pulak tu tengah-tengah Highway) maka kami sampai ke Makkah dalam masa 6 jam je. 

Sampai sahaja di Makkah, kami terus check-in hotel dan berkumpul di lobi untuk bertolak ke Baitullah mengerjakan tawaf umrah. Mutawwih terpaksa membawa rombongan tawaf di aras bawah, tetapi kami yang membawa adik berkerusi roda diminta mengerjakan tawaf melalui mataf di tingkat paling atas. Masalahnya, tingkat atas tu hanya 2 orang pengiring je dibenarkan, Bincang punya bincang, mak decide nak iku rombongan tawaf aras bawah ( dekat dengan ka'abah). Risau juga nak jumpa semula macam mana dengan emak. Nak janji jumpa kat lobi/ bilik takut emak tak pandai naik lif. Tapi, emak cakap tak apalah, jumpa lah nanti tu. Semuanya serah pada Allah. Seorang mutawif indon disediakan khas untuk kami bersama seorang lagi jemaah yang membawa ibunya yang berkerusi roda. 

Allahu Akbar! Allahu akbar! Allahu akbar! Betapa diri ini terasa suatu kerahmatan bila dapat menyaksikan kaabah dihadapan mata. Sambil mencari-cari laluan wheelchair ke kawasan tawaf sambil mata dan jiwa ini beriringan bersama kaabah. Dari satu laluan ke satu laluan. Semuanya dijaga oleh askar. Dan askar-askar ini tak membenarkan kami turun ke dataran kaabah. Kenapalah pulak, kalau boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab kan senang.

Alhamdulillah, selesai tawaf kami terus mengerjakan Saie dari Bukit Safa ke Marwah sebanyak 7 kali ulang-alik. penat tak terasa sangat, tapi bila balik ke hotel rasa kejang tapak kaki. Bukan apa, sebab Mutawwih tu laju sangat bawak kami. Untuk first time ni, kami terpaksa ikut mutawwif sebab tak tahu lagi lokasinya. Selesai saie, kami terus dibawa terus ke Kedai gunting rambut untuk bercukur. Bagi yang perempuan dah siap bergunting di Bukit Marwah lagi.



Tahallul ( menggunting rambut)...Selesai sudah Umrah


Selesai sudah umrah pertama kami, sekarang fikir mana nak cari emak. Memang betul, jika kita yakin dan minta pada Allah 100 peratus semua urusan jadi mudah. Allah merancang yang terbaik buat kami. Sebaik keluar dari bangunan Menara Zam-zam,  kami nanmpak kelibat emak yang baru tiba ke menara tersebut. Alhamdulillah, emak pun macam terkejut sebeb tak sangka terus jumpa kami depan pintu sebaik selesai umrah.

Pihak Travel menyediakan 3 kali umrah, umrah kedua kami berniat umrah di Ja'ranah dan Tannaim. Kalau nak buat lebih, kena pergi sendiri lah dengan teksi untuk niat umrah di Miqat samada di Ja'ranah, Tannaim atau Hudaibiyah. Antara setiap umrah itu penghapus dosa. 


Pemandangan dari bilik hotel kami. Nampak sebahagian Masjidilharam

Alhamdulillah, walaupun kami perlu solat tingkat atas (sebab bawa adik berkerusi roda), kami sentiada dapat solat di saf bahagian hadapan dan dapat melihat a'abah depan mata. Allahuakbar!!! Saf antara lelaki dan wanita pun tak jauh, jadi lepas solat senang lah kami berkumpul untuk membaca al-Quran di suatu tempat. Berada di Makkah ni perlu banyak bersabar. Kami perlu beratus panjang bila nak masuk atau keluar masjid, sebab orang sentiasa ramai

Kelebihan berada di tanah suci ini, lidah kita masin. Hanya tanamkan hajat dalam hati, insya’ Allah tertunai. Tapi ujiannya di sana sentiasa ada.Contohnya bila kami berhajat mencari emak, kita mohon pada Allah.Tak lama lepas tu jumpa. Kita sakit-sakit badan, mohon dihilangkan lenguh-lenguh itu, alhamdulillah sihat sehingga mampu menyempurnakan lengkap tawaf sunat padahal pada asalnya hampir-hampir nak batalkan niat bertawaf, kemudian niat bertawaf seberapa pusingan yang mampu tapi akhirnya dapat bertawaf tujuh pusingan sekali gus.
 Ustaz ada pesan, tawaf lah sebanyak mungkin sebab Rasulullah adalah orang yang paling banyak melakukan tawaf sunat. Pada masa yang sama 70 ribu malaikat juga sedang bertawaf bersama kita di Baitul Ma'mur di langit yang ke-tujuh. Kedudukan Baitul Ma'mur adalah bertepatan dengan Baitullah al-Haram. Jadi Multazam itu di percayai tiang  yang menghubungkan Baitullah al-Haram dan langit yang ketujuh ini.



Hari kedua kami di Makkah merupakan hari pembersihan di bahagian dalam Ka'bah

Perbersihan Ka'abah biasanya dilakukan dua kali setiap tahun, iaitu pada pertengahan bulan Sya`ban sebagai persiapan menghadapi musim Umrah pada bulan Ramadhan, dan pertengahan Dzulqa`idah sebagai persiapan menyambut jamaah haji. Hari kedua kami disini , merupakan hari pembersihan Ka'abah. Kaabah biasanya dicuci dengan air zamzam yang dicampur dengan mawar Thaif dan Anbar, Nizar As-Syaibi, putra tertua keluarga pengurus Masjidil Haram Syeikh Abdul Aziz As-Syaibi, menyebut; pencucian Kaabah merupakan tradisi yang disunnahkan namun tidak harus dilakukan pada waktu tertentu. Secara umumnya, Rasulullah pernah sekali mencuci Kaabah pada bulan Sya`ban

Pemandangan Ka'abah dan Mataf dari tempat solat tingkat 1



Pemandangan di Hadapan Multazam dan Makam Ibrahim. Alhamdulillah diberi peluang solat di sini


Antara tempat mustajab untuk berdoa adalah di Multazam.  Mustazam merupakan tempat antara Hajar Aswad dan Pintu Ka'abah. Waktu yang paling mustajab untuk berdoa ialah di pertengahan malam hingga azan subuh.

Kawasan Sa'ie ( En.Suami, ibu dan adik)

Tempat Minum Air Zam-zam

Begitulah sedikit catatan saya sebagai insan yang kerdil dalam agama Allah ini melalui pengalaman saya menunaikan Umrah.
Semoga apa yang saya loretkan ini akan menambahkan rasa ketaqwaan dan rasa kemanisan iman agar kita terus beristiqamah mengerjakan apa-apa yang disuruhNya dan meninggalkan yang dilarangNya.

Yang baik  itu datangnya dari Allah swt manakala sekiranya terdapat kesilapan dalam nukilan saya ini adalah kerana kurangnya ilmu serta pemahaman saya terhadap ilmu agama ini.

Semoga ia memberikan menafaat kepada sahabat-sahabat yang akan mengerjakan ibadah umrah pertama kali dan saya berdoa agar sahabat-sahabat yang pergi menunaikan ibadah itu mendapat umrah yang mabrur dan mabrurah.

Ingatlah bahawa pemergian kita ketanah suci itu adalah jemputan dariNya maka bersihkanlah hati dan jauhilah perkara-perkara yang boleh mensyirikkan Allah swt.

Alhamdulillah selamat tiba di Tanah Air. Bilalah agaknya kami akan dijemput kembali

Comments

Post a Comment