Kebahagiaan dan kesejahteraan hidup yang
merupakan impian setiap insan bukanlah sekadar terletak pada nilaian
harta benda dan wang ringgit. Banyak rumah tangga yang hancur kerana
mengikut teori kebahagian sendiri. Mereka menyangkakan wang adalah
segala-galanya. Namun setelah memperolehi semuanya itu, rumah tangga
masih tidak bahagia. Suami isteri tidak mesra. Bahkan sentiasa
berkrisis, bermasam muka dan berburuk sangka. Hubungan ibu bapa dan
anak-anak renggang.
Justeru itu, kebahagiaan bukan terletak
kepada material semata-mata, yang paling utama ialah pimpinan suami itu
sendiri.Suami perlu mendidik isteri ke arah mencapai cinta Allah, cinta
agama dan cinta akhirat. Cinta kepada Tuhan akan mendorong seseorang itu
untuk berbuat kebaikan demi mencari redha Allah.
Setiap
pasangan perlu saling bantu-membantu untuk memajukan diri mencari
keredhaan Allah terutama sekali pada waktu keheningan malam.Allah s.w.t.
berfirman yang bermaksud:“Dan bantu-membantulah kamu dalam kebaikan dan
takwa, janganlah kamu bantu-membantu dalam melakukan dosa dan
pelanggaran.” (Al-Maidah: 2)
Malah baginda s.a.w. sangat suka
kepada suami isteri yang saling bantu-membantu dalam ketaatan, rukuk dan
sujud dalam kegelapan malam ketika semua manusia tidur dengan lenanya.
Itulah sebenarnya petua kebahagiaan dunia dan akhirat.
Diriwayatkan
daripada Abu Hurairah r.a, katanya:Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Mudah-mudahan Allah merahmati seorang suami yang bangun pada tengah
malam lalu mengerjakan solat dan membangunkan isterinya sama-sama
melakukan solat. Sekiranya dia enggan, maka dipercikkannya ke wajahnya.” “Mudah-mudahan Allah merahmati seorang isteri yang bangun tengah malam
untuk mengerjakan solat dan juga membangunkan suaminya, jika dia enggan,
maka dipercikkanlah air ke mukanya.” (Riwayat: Abu Daud dan Ibnu
Majah)Menerusi
hadis di atas jelaslah kepada kita betapa
indahnya saat-saat seorang suami membangunkan isterinya dengan
lemah-lembut seperti memercikkan air ke mukanya pada tengah malam supaya
sama-sama melakukan ibadat kepada Allah s.w.t. apatah lagi jika
anak-anak dapat ikut serta.
Betapa sayunya hati ketika ini
mengenali dosa-dosa yang telah dilakukan. Air mata menitis tanda
keinsafan. Zikir dialunkan tanda kesyukuran. Doa dipanjatkan memohon
kesejahteraan keluarga dunia dan akhirat. Kebahagiaan seperti inilah
akan melahirkan jiwa yang tenang, aman damai, tiada ketakutan, tiada
kebimbangan malah berada di dalam keadaaan redha dan diredhai Allah
dunia dan akhirat. Ini jelas dalam firman Allah bermaksud:“Wahai
jiwa yang tenang kembalilah kamu kepada Tuhanmu dalam keadaan kamu
redha dan diredhai. Masuklah dalam hamba-Ku dan masuklah ke dalam
syurga-Ku.” (Al-Fajr: 27-30)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah
dan Abu Said r.a. katanya: Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila
seorang suami membangunkan isterinya pada waktu malam kemudian mereka
mengerjakan solat dua rakaat, maka mereka termasuklah atau tergolonglah
ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah.”
(Riwayat: Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Oleh itu, luangkan masa untuk bermunajat kepada-Nya agar tidak timbul penyesalan pada hari kemudian.
Comments
Post a Comment